APABILA BULAN, BUMI DAN MATAHARI SEBARIS…

PADA 26 Disember 2019, Tanjung Piai di Johor menjadi tumpuan ribuan peminat fenomena astronomi untuk menyaksikan gerhana matahari cincin yang kali terakhir berlaku pada 22 Ogos 1998.


Tanjung Piai adalah istimewa kerana kawasan itu adalah tanah paling selatan benua Asia.


Selain Tanjung Piai, Serian di Sarawak juga menjadi lokasi pemerhatian gerhana cincin ini.

Pembentukan ‘cincin berapi’ pada waktu tengah hari yang sebelum ini berlaku di Malaysia pada 22 Ogos 1998 tercetus apabila bumi, bulan dan matahari berada dalam kedudukan sebaris, sekali gus menyebabkan persekitaran bertukar gelap untuk tempoh tertentu.


Lokasi strategik untuk menyaksikan proses pembentukan fenomena yang berlaku sekali dalam tempoh dua dekad ini adalah di daerah paling selatan Malaysia, iaitu Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.


Hampir separuh kawasan bumi termasuk Malaysia berpeluang menyaksikan gerhana matahari cincin yang bermula dari Arab Saudi, kemudian ke India, Sumatera, Malaysia (Johor dan Sarawak), Singapura, kembali ke Malaysia di Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di Lautan Pasifik pada 26 Disember.


Mengikut Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari, fenomena itu dijangka berlaku untuk tempoh antara dua minit 30 saat hingga tiga minit 30 saat, bergantung kepada lokasi.


Faktor lain yang bakal menentukan kejelasan pembentukan anulus dalam bahasa Latin atau cincin itu adalah taburan awan, jerebu dan kemungkinan hujan pada waktu ketiga-tiga sistem solar berkenaan berada dalam kedudukan sebaris.


“Tanjung Piai dipilih sebagai lokasi untuk kita adakan Festival Solar Malaysia 2019 yang mengandungi pengisian pelbagai aktiviti dengan unjuran pengunjung dua juta orang.


“Ia berikutan ini berada di kedudukan terhampir apabila fenomena gerhana matahari anulus berlaku pada jam 1.21 tengah hari hingga jam 1.23 tengah hari.


Mengenai kesan pada kesihatan dan perubahan alam sekitar, Anita berkata, perbezaan tarikan graviti bulan berikutan gerhana matahari cincin bakal menyebabkan fenomena air pasang besar di Tanjung Piai dan pantai barat Semenanjung.


Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), paras air laut di Tanjung Piai dijangka naik sehingga 3.4 meter, berbanding kadar biasa iaitu antara dua hingga tiga meter.


“Ini paras biasa dan tidak memberi sebarang kebimbangan kepada pengunjung, namun apa yang lebih menarik ialah kesan kepada burung hijrah serta tumbuhan kerana persekitaran hening tengah hari tiba-tiba bertukar gelap.


“Cuma pengunjung dinasihatkan untuk tidak melihat gerhana secara terus, sebaliknya menggunakan 10,000 kaca mata khas mengandungi filem penuras sinar matahari yang akan diperuntukkan oleh Planetarium.


“Berikutan kekuatan sinar cahaya matahari ketika gerhana, individu yang melihat secara terus akan berdepan risiko buta kekal, justeru guna kaedah bersesuaian dan ikuti nasihat pihak penganjur,” katanya kepada media.